10/31/2013

Sejarah Kemunculan Sistem Perbankan Islam di Malaysia.

Pada 1 Mac 1983, Malaysia telah menubuhkan bank Islam pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan menjalankan operasinya pada 1 Julai tahun yang sama. BIMB telah disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Kuala Lumpur pada 17 Januari 1992.
Pada 4 Mac 1994 Bank Negara Malaysia telah melancarkan skim yang dipanggil ‘Skim Perbankan Tanpa Faedah (STPF). Melalui skim ini, institusi kewangan dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan prinsip Islam. Ketika skim ini mula dilancarkan, hanya tiga buah bank sahaja yang terlibat dan pada peringkat kedua sejumlah 10 lagi institusi kewangan menyertai skim ini.[1]
Seterusnya pada 1 Oktober 1999 status monopoli yang dinikmati oleh BIMB luput apabila kerajaan membenarkan penubuhan bank Islam kedua bernama Bank Muamalat Malaysia Berhad. Bank ini ditubuhkan hasil gabungan antara Bank Bumiputra Malaysia Berhad dan Bank of Commerce (M) Berhad. Bank Islam kedua ini memulakan operasi dengan kekuatan 40 cawangan dan 1,000 orang kakitangan.[2]
Selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perbankan Islam, Bank Negara Malaysia telah meluluskan permohonan tiga buah institusi perbankan Islam asing untuk menjalankan operasinya di Malaysia. Pada 27 Mei 2004, Kuwait Finance House telah diberikan lesen, manakala Al Rajhi Banking & Investment Corporation, Arab Saudi dan sebuah consortium terdiri daripada Qatar Islamic Bank, RUSD Investment Bank Inc. dan Global Investment House mendapat lesen masing-masing pada 14 Oktober 2004.[3]
Sehingga Mei 2012, Sebanyak 17 buah bank Islam telah beroperasi di Malaysia yang terdiri daripada 11 buah bank tempatan dan 6 buah bank asing. 11 buah bank tempatan tersebut adalah Affin Islamic Bank Berhad, Alliance Islamic Bank Berhad, AmIslamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, EONCAP Islamic Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, Public Islamic Bank Berhad, dan RHB Islamic Bank Berhad. 6 lagi bank asing adalah Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad, Asian Finance Bank Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad, dan Standard Chartered Saadiq Berhad.



[1] Sudin Haron (2007), ‘Sistem Kewangan dan Perbankan Islam’, Kuala Lumpr: Kuala Lumpur Business School Sdn Bhd.
[2] Ibid.
[3] Ibid.

No comments: