10/31/2013

Pengenalan Sistem Perbankan Islam

Perbankan Islam didefinisikan sebagai perbankan yang selaras dengan sistem nilai dan etos Islam.[1] Al Najjar memberikan takrifan umum bagi perbankan Islam sebagai pertubuhan kewangan yang mengumpul dana dan menjalankan operasinya dalam lingkungan syariah Islam dengan tujuan membina kesatuan masyarakat Islam bagi merealisasikan  keadilan pengagihan serta menggunakan dana-dana itu mengikut landasan Islam.[2] Persatuan Bank-bank Islam Antarabangsa (International Association of Islamic Banks) atau singkatannya IAIB mendefinisikan perbankan Islam sebagai perbankan yang ditubuhkan untuk menggerak dana-dana dan menggunakannya selaras dengan syariah Islam bagi tujuan mengembangkan ikatan kesatuan Islam dan mempastikan keadilan pengagihan di samping menggunakan dana-dana tersebut selaras dengan prinsip-prinsip Islam.[3]
Satu persamaan yang wujud antara perbankan Islam dan konvensional adalah dari segi fungsi kedua-duanya iaitu sebagai tempat untuk menyimpan dan meminjam wang. Walaubagaimanapun, konsep dan teori kedua-duanya adalah berbeza. Objektif bank konvensional ditubuhkan adalah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan.[4] Manakala Bank Islam ditubuhkan adalah untuk memenuhi keperluan umat Islam di dalam urusan perbankan.[5] Kebanyakan pengkaji mengenai perbankan Islam bersetuju bahawa perbankan Islam mestilah memenuhi dua kriteria asas.  Pertama, ia mestilah dilaksanakan tanpa melanggar mana-mana hukum syariah. Kedua, Ia hendaklah membantu ke arah pencapaian objektif sosio-ekonomi masyarakat Islam.[6] Oleh itu, segala urusan yang dikendalikan oleh perbankan Islam mestilah tiada unsur-unsur riba, gharar dan judi kerana Islam melarang umatnya dari terlibat dalam perkara-perkara tersebut.
Malaysia adalah negara pertama yang mengamalkan dwi-sistem (Dual System) iaitu sistem perbankan Islam yang beroperasi selari dengan sistem konvensional yang ada. Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem perbankan Islam yang paling komprehensif dan cekap yang beroperasi bersama-sama (side by side) dengan sistem perbankan konvensional.



Rujukan:
[1] Ab. Mumin Ab. Ghani (1999), Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanaannya di Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Sudin Haron (2007), ‘Sistem Kewangan dan Perbankan Islam’, Kuala Lumpr: Kuala Lumpur Business School Sdn Bhd.
[6] Ibid.

No comments: