9/24/2021

Resepi Cheese Tart

 Assalamualaikum semua.

Ok semalam saya share gambar saja, hari ini saya share resepi Cheese Tart yang diajar oleh sifu saya❤️


A) UNTUK SHELL

1) Kacau sebati guna senduk saja :

- 250grm butter

- 1biji kuning telur

- 100grm gula kastor

- 1 sdb esen vanilla

- 1 sdb susu pekat


2) Adunan dah sebati, masukkan sedikit demi sedikit 450grm@500grm tepung gandum. Akhir sekali tambah 2sdb air sejuk dari peti. Jadikan doh tak melekat di tangan. Biasa saya simpan dalam peti sejuk sebentar dalam 10minit.


3) Masukkan adunan dalam acuan seperti dalam gambar..untuk bentuk yang comel dan jari tak sakit, saya guna alat seperti dalam gambar & kemaskan lebihan doh pada tepi acuan.


4) Cucuk dengan garfu sebelum dibakar pada suhu 150° selama 20minit @ kekuningan. Shell ni mudah dikeluarkan daripada acuan selepas dibakar.


B) UNTUK ADUNAN CHEESE

1) Putar 500grm cream cheese dengan medium speed, sehingga cheese tidak berketul

2) Masukkan 30grm butter, putar lagi sebentar

3) Masukkan 100grm gula kastor, putar sehingga gula sebati

4) Masukkan sebiji telur gred A dan putar sebentar

5) Tambah 1sdb esen vanilla

6) Akhir sekali masukkan 20grm non dairy whipping cream dan putar sebentar.


Ok siap sudah, mudah kan..


*Isi filling strawberry @ blueberry @ nutella @ kiwi etc ikut selera masing2 kedalam shell yang sudah dibakar.

*Masukkan adunan cheese dalam piping beg & pancitkan secara menaik.



* Bakar pada suhu 150° selama 20minit.


Selamat mencuba 😊

#cheesetart

#kakcahempire




10/31/2013

Sejarah Kemunculan Sistem Perbankan Islam di Malaysia.

Pada 1 Mac 1983, Malaysia telah menubuhkan bank Islam pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan menjalankan operasinya pada 1 Julai tahun yang sama. BIMB telah disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Kuala Lumpur pada 17 Januari 1992.
Pada 4 Mac 1994 Bank Negara Malaysia telah melancarkan skim yang dipanggil ‘Skim Perbankan Tanpa Faedah (STPF). Melalui skim ini, institusi kewangan dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan prinsip Islam. Ketika skim ini mula dilancarkan, hanya tiga buah bank sahaja yang terlibat dan pada peringkat kedua sejumlah 10 lagi institusi kewangan menyertai skim ini.[1]
Seterusnya pada 1 Oktober 1999 status monopoli yang dinikmati oleh BIMB luput apabila kerajaan membenarkan penubuhan bank Islam kedua bernama Bank Muamalat Malaysia Berhad. Bank ini ditubuhkan hasil gabungan antara Bank Bumiputra Malaysia Berhad dan Bank of Commerce (M) Berhad. Bank Islam kedua ini memulakan operasi dengan kekuatan 40 cawangan dan 1,000 orang kakitangan.[2]
Selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perbankan Islam, Bank Negara Malaysia telah meluluskan permohonan tiga buah institusi perbankan Islam asing untuk menjalankan operasinya di Malaysia. Pada 27 Mei 2004, Kuwait Finance House telah diberikan lesen, manakala Al Rajhi Banking & Investment Corporation, Arab Saudi dan sebuah consortium terdiri daripada Qatar Islamic Bank, RUSD Investment Bank Inc. dan Global Investment House mendapat lesen masing-masing pada 14 Oktober 2004.[3]
Sehingga Mei 2012, Sebanyak 17 buah bank Islam telah beroperasi di Malaysia yang terdiri daripada 11 buah bank tempatan dan 6 buah bank asing. 11 buah bank tempatan tersebut adalah Affin Islamic Bank Berhad, Alliance Islamic Bank Berhad, AmIslamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, EONCAP Islamic Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, Public Islamic Bank Berhad, dan RHB Islamic Bank Berhad. 6 lagi bank asing adalah Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad, Asian Finance Bank Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad, dan Standard Chartered Saadiq Berhad.



[1] Sudin Haron (2007), ‘Sistem Kewangan dan Perbankan Islam’, Kuala Lumpr: Kuala Lumpur Business School Sdn Bhd.
[2] Ibid.
[3] Ibid.

Pengenalan Sistem Perbankan Islam

Perbankan Islam didefinisikan sebagai perbankan yang selaras dengan sistem nilai dan etos Islam.[1] Al Najjar memberikan takrifan umum bagi perbankan Islam sebagai pertubuhan kewangan yang mengumpul dana dan menjalankan operasinya dalam lingkungan syariah Islam dengan tujuan membina kesatuan masyarakat Islam bagi merealisasikan  keadilan pengagihan serta menggunakan dana-dana itu mengikut landasan Islam.[2] Persatuan Bank-bank Islam Antarabangsa (International Association of Islamic Banks) atau singkatannya IAIB mendefinisikan perbankan Islam sebagai perbankan yang ditubuhkan untuk menggerak dana-dana dan menggunakannya selaras dengan syariah Islam bagi tujuan mengembangkan ikatan kesatuan Islam dan mempastikan keadilan pengagihan di samping menggunakan dana-dana tersebut selaras dengan prinsip-prinsip Islam.[3]
Satu persamaan yang wujud antara perbankan Islam dan konvensional adalah dari segi fungsi kedua-duanya iaitu sebagai tempat untuk menyimpan dan meminjam wang. Walaubagaimanapun, konsep dan teori kedua-duanya adalah berbeza. Objektif bank konvensional ditubuhkan adalah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan.[4] Manakala Bank Islam ditubuhkan adalah untuk memenuhi keperluan umat Islam di dalam urusan perbankan.[5] Kebanyakan pengkaji mengenai perbankan Islam bersetuju bahawa perbankan Islam mestilah memenuhi dua kriteria asas.  Pertama, ia mestilah dilaksanakan tanpa melanggar mana-mana hukum syariah. Kedua, Ia hendaklah membantu ke arah pencapaian objektif sosio-ekonomi masyarakat Islam.[6] Oleh itu, segala urusan yang dikendalikan oleh perbankan Islam mestilah tiada unsur-unsur riba, gharar dan judi kerana Islam melarang umatnya dari terlibat dalam perkara-perkara tersebut.
Malaysia adalah negara pertama yang mengamalkan dwi-sistem (Dual System) iaitu sistem perbankan Islam yang beroperasi selari dengan sistem konvensional yang ada. Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem perbankan Islam yang paling komprehensif dan cekap yang beroperasi bersama-sama (side by side) dengan sistem perbankan konvensional.



Rujukan:
[1] Ab. Mumin Ab. Ghani (1999), Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanaannya di Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Sudin Haron (2007), ‘Sistem Kewangan dan Perbankan Islam’, Kuala Lumpr: Kuala Lumpur Business School Sdn Bhd.
[6] Ibid.