10/05/2008

Cabaran Ekonomi Islam

Ekonomi bukanlah persoalan baru dalam Islam. Perancangan dan aktiviti ekonomi telah berlaku dalam zaman Nabi Yusuf a.s yang menjadi Menteri Ekonomi pertama di Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu Ekonomi dengan membuat satu perancangan rapi bagi memastikan negara mempunyai bekalan yang mencukupi apabila menghadapi musim kemelesetan. Namun begitu kegiatan ekonomi pada awal Islam agak terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja di pasaran yang mudah. Mulai abad kedua Hijrah bermulalah beberapa kajian mengenai kegiatan ekonomi secara khusus dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai hukum riba, sistem harga, monopoli, percukaian, zakat, kewangan kerajaan dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini membicarakan hukum hakam muamalat mengikut mazhab masing-masing.1
Dua tokoh yang sering disebut sebagai bapa Ekonomi Islam ialah Ibni Taymiyah (1262-1328 Masehi) dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masehi). Ibn Taimiyah yang berpusat di Damsyik adalah terkenal dengan pandangannya mengenai harga setara, pasaran sempurna, kawalan harga, monopoli, penyorokan dan spekulasi. Manakala Ibn Khaldun pula, di dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Mukaddimah Ibn Khaldun, menyentuh banyak perkara ekonomi seperti nilai, buruh, sistem harga, hukum permintaan dan penawaran, penggunaan dan pengeluaran, wang, modal, kewangan negara, dll. Beliau yang berasal dari Haramaut dan berpindah ke Andalus merupakan tokoh ekonomi dengan pemikiran ekonomi yang penting yang mendahului Adam Smith dengan jarak waktu 400 tahun.
Walaubagaimana pun momentum pengembangan ilmu Ekonomi Islam ini mengalami kemerosotan bersama dengan zaman kejatuhan empayar Islam yang berlaku disekitar kurun ke 13 Masehi. Inilah zaman kegelapan Islam di mana masalah politik dan sosial di kalangan umat Islam telah menjadi kucar-kacir sehingga membantutkan isnstitusi keilmuan. Para ilmuan tidak mampu lagi mengkaji dan berijtihad. Mereka hanya mampu bertaklid dan dengan rela hati menutup pintu ijtihad. Ilmu Ekonomi Islam yang yang di asaskan oleh Ibn Taimiyah dan Ibn Khaldun dan yang lain sebelum mereka tidak dikembangkan dan hanya tersimpan dalam kitab-kitab kuning tanpa waris untuk menyambung usaha mereka.
2
Selepas dari tempoh ini penumpuan ilmu beraleh ke Barat. Lahirlah tokokh ilmu ekonomi Barat seperti Adam Smith (1723-1790), David Ricardo (1772-1823), J.S. Mills (1806-1873), Irving Fisher (1867-1947), John Maynard Keynes (1883-1946), dan lain-lain. Cendikiawan dari negara Islam pula menghala ke Barat untuk menuntut ilmu yang kemudiannya diterapkan amalannya di negara masing-masing. Zaman kejatuhan kegemilangan Islam juga berganti dengan zaman penjajahan kuasa Barat ke atas negara-negara Islam. Maka dengan strategi serampang dua mata ini, iaitu melalui penjajahan politik dan penjajahan ilmu, boleh dikatakan kesemua negara Islam kini mengamalkan sistem pemerintahan dan sistem ekonomi Barat yang dikatakan sekular itu.
Natijah daripada sejarah pengembangan ilmu yang yang tebantut itu, persoalan yang mendepani kita ialah apa dia dan di mana dia Ekonomi Islam? Adakah sistem ekonomi Barat sesuai di amalkan oleh umat, negara dan masyarakat Islam dengan pengubahsuaian yang sewajarnya (proses Islamisasi)? Atau, adakah Ekonomi Islam itu merupakan satu bidang ilmu yang sama-sekali berlainan dari Ekonomi Barat sehinggakan tidak mungkin ianya diubahsuai daripada acuan ekonomi konvensional? Pendekatan kedua ini kurang praktikal kerana adanya tempoh beku dalam ilmu ekonomi Islam selepas zaman Ibn Khaldun. Pendekatan pertama lebih mudah dan lebih praktikal memandang kepada kemantapan dari segi teori dan amalan ekonomi konvensional. Para ilmuan Islam boleh menggunakan ekonomi konvensional sebagai titik tolak dan membuat penyaringan untuk mengambil perkara yang dibenarkan Islam, mengubahsuai perkara yang tidak sesuai dan menolak yang jelas tidak dibenarkan.

Profesor Dato’ Dr. Mansor Md. Isa
Pengarah, Jabatan Pengajian Malaysia, Universiti Kaherah

No comments: